Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Pegawai perkhidmatan awam yang menerima tajaan latihan persekutuan separa biasiswa dan belum tamat pada tahun depan akan menerima bayaran
Elaun Sara Hidup (ESH) berdasarkan baki tempoh penajaan.

Manakala, penerima penajaan baharu bermula tahun depan, ESH akan dibayar bermula tarikh diluluskan.

Selain itu, menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, penerima tajaan yang tamat tempoh pada 1 Januari depan tidak layak menerima ESH.

“Bagi kementerian-kementerian yang telah diturunkan kuasa untuk menguruskan biasiswa dalam perkhidmatan, ESH hendaklah diberikan kepada pegawai yang layak dengan menggunakan peruntukan kementerian masing-masing.

“Oleh yang demikian kementerian-kementerian yang berkaitan perlu mengambil kira keperluan pembayaran ini dalam perancangan program Latihan dalam perkhidmatan untuk tahun 2026 dan seterunya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi pekeliling bertarikh 7 November lalu.

Sebagai rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrhim melalui pembentangan Belanjawan Tahun 2026 mengumumkan pemberian ESH RM900 sebulan kepada pegawai awam yang menerima Hadiah Latihan Persekutuan Separa Biasiswa untuk mengikuti pengajian di peringkat ijazah lanjutan secara separuh masa.

Ia bagi menggalakkan pegawai awam meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran tanpa meninggalkan tugas hakiki di jabatan masing-masing.

Dalam masa yang sama,inisiatif tersebut merupakan satu bentuk penghargaan kerajaan kepada keazaman dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pegawai yang mengikuti pengajian separuh masa

“Pemberian ini juga secara tidak langsung akan menjadi suntikan motivasi dan semangat kepada pegawai untuk meneruskan pengajian sehingga tamat jaya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast