KUALA LUMPUR – Perjuangan untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah, pengukuhan autonomi serta pembangunan sosioekonomi Sabah yang adil tidak harus menjadi punca perpecahan.
Sebaliknya Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia sepatutnya menjadi asas penyatuan dalam semangat federalisme yang matang dan saling menghormati.
“Keadilan Sabah menyeru agar semua parti, termasuk UPKO, terus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan, serta meneruskan kerjasama dalam ruang kebersamaan yang lebih luas di bawah semangat perpaduan dan reformasi nasional,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kenyataan itu susulan keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pengumuman malam tadi, Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang berkata, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO semalam, yang membincangkan agenda ‘Sabah First’ yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju kepimpinan parti berkenaan.
Keputusan keluar daripada PH itu dibuat selepas Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick turut mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi malam semalam.
Sementara itu, Mustapha berkata, PKR Sabah menghormati keputusan UPKO keluar daripada PH dan menzahirkan penghargaan kepada Ewon serta seluruh kepimpinan dan ahli UPKO atas sumbangan, komitmen dan kebersamaan mereka dalam PH selama ini.
“Sepanjang penyertaan UPKO dalam PH sejak tahun 2019, kerjasama erat telah dijalinkan antara pimpinan, jentera serta wakil rakyat di pelbagai peringkat, khususnya dalam memperjuangkan agenda reformasi, tadbir urus baik dan pembangunan inklusif di Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















