KUALA LUMPUR – Sebanyak 338 kes penyalahgunaan kad pengenalan (MyKad) direkodkan antara tahun 2021 hingga Oktober 2025 melibatkan penggunaan kad palsu dan kad milik orang lain kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kes berkenaan dikesan hasil 3,418 operasi penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi di seluruh negara bagi membanteras kesalahan berkaitan penyalahgunaan kad pengenalan dan sijil kelahiran.
“Sepanjang tempoh tersebut, 1,377 tangkapan telah dibuat, dengan 843 kes didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 manakala 525 kes lagi di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
“Baki sembilan kes tidak melibatkan pendakwaan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH–Wangsa Maju) yang meminta kerajaan menjelaskan jumlah tangkapan dan pendakwaan kes penyalahgunaan kad pengenalan termasuk kecurian identiti serta strategi perlindungan data rakyat.
Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, 338 kes dikenal pasti membabitkan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) terdiri daripada 232 kes penggunaan kad pengenalan palsu dan 106 kes menggunakan kad milik orang lain.
“Pecahan lanjut menunjukkan 172 kes melibatkan warga Filipina, 132 kes warga Indonesia, dan 34 kes membabitkan warganegara lain. Sebahagian kes telah selesai dibicarakan dan dijatuhkan hukuman, manakala selebihnya masih dalam proses siasatan,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan strategi menyeluruh membabitkan aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan awam bagi membanteras kegiatan itu.
“JPN mempergiat operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain bagi mengekang pemalsuan dan penjualan kad pengenalan. Sebuah pasukan khas siasatan turut ditubuhkan khusus untuk mengesan sindiket penjualan identiti,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan keselamatan data identiti rakyat sentiasa dilindungi dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan dokumen pengenalan diri negara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau sindiket yang menyalahgunakan dokumen rasmi negara. Keselamatan data dan integriti sistem pendaftaran rakyat adalah keutamaan kerajaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















