Ewon Benedick

KUALA LUMPUR – Datuk Ewon Benedict menegaskan kenyataan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu hak 40 peratus hasil Sabah bercanggah dengan pendirian yang sebenar.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, tindakan AGC bercanggah terhadap perkara berkenaan kerana ia menyatakan tiada rayuan yang akan dibuat namun dalam masa yang sama akan “merayu kecacatan dalam Alasan Penghakiman”.

Menurut beliau, tindakan sebegitu masih dianggap sebagai satu bentuk rayuan sekali gus membenarkan keputusan beliau dalam melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini.

An appeal is an appeal, tiada rayuan, tapi akan merayu alasan penghakiman, ia tetap satu rayuan,”katanya dalam akaun rasmi Facebook miliknya semalam.

Ewon menjelaskan, beliau bersama dengan UPKO kekal dengan pendirian bahawa tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Federal List dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara dasar manakala isu 40 peratus merupakan undang-undang istimewa buat Sabah.

Kata beliau, rakyat Sabah memerlukan pembayaran semula hak 40 peratus yang boleh digunakan oleh kerajaan negeri bagi membangun infrastruktur, membasmi kemiskinan serta program ekonomi dan keusahawanan.

“Sebab itu sepanjang hampir tiga tahun dalam Kabinet Persekutuan, setiap kali isu 40% dibincangkan, saya menyatakan pendirian dan pandangan saya.

“Jawapan balas yang saya terima masih tetap sama,” dakwa beliau.

Ewon turut memetik keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu oleh Hakim Celestina Stuel Galid yang merekodkan pendirian AGC dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Tambahnya lagi, beliau turut menjangka notis rayuan akan tetap difailkan ke Mahkamah Rayuan, memandangkan alasan dan dapatan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu saling berkait dan tidak boleh dipisahkan.

“Sekiranya Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa sebahagian dapatan Mahkamah Tinggi itu adalah salah, keputusan keseluruhan ke atas hak 40 peratus Sabah boleh dilihat sebagai telah terjejas.

Ewon menegaskan walaupun AGC menyatakan menghormati prinsip emberian khas berdasarkan hak tersebut, pembatalan keseruhan penghakiman oleh Mahkamah Rayuan akan turut menjejaskan pengiktirafan hak itu.

Dalam pada itu, katanya, Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang dijalankan kelmarin menyimpulkan hanya parti-parti tempatan Sabah sahaja yang benar-benar memahami denyut nadi serta inspirasi rakyat berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

“Sudah tiba masanya rakyat Sabah memilih parti-parti tempatan yang berprinsip untuk menerajui Kerajaan Sabah supaya boleh memperjuangkan agenda Sabah First ini secara berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast