Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil negeri memberi kelegaan kepada rakyat Sabah.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan percaya, keputusan ini membuka lembaran baharu bagi hubungan antara Putrajaya dan Kota Kinabalu.

“Sudah tiba masanya kita menoktahkan perdebatan lebih enam dekad ini. Ia telah memecah-belahkan negara dan menimbulkan sentimen negatif terhadap Kerajaan Persekutuan.

“Perkara ini mesti dihentikan. Ia tidak baik untuk negara — dan pastinya tidak baik untuk perpaduan rakyat.

“Kita mesti terlebih dahulu mengiktiraf bahawa isu 40% ini adalah sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan. Dari situ, kita perlu melangkah ke hadapan dan menumpukan kepada empat langkah penting dan lebih kompleks yang diperlukan untuk melaksanakan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mencadangkan supaya  pelaksanaan hak 40 peratus perlu disusun berasaskan empat perkara utama iaitu parameter, kuantum, mekanisme dan garis masa.

Menurutnya, dalam menentukan parameter, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu menjelaskan skop sebenar hasil yang seperti cukai pendapatan, duti eksport dan hasil sumber asli supaya tidak kekeliruan.

Seterusnya, kuantum perlu ditetapkan secara terbuka selepas kedua-dua pihak bersetuju tentang parameter bagi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Pada masa ini, ujarnya, perbezaan tafsiran menjadi punca utama kepada perdebatan dan kekeliruan antara kedua-dua pihak.

Rakyat melihat seolah-olah Putrajaya dan Kota Kinabalu sedang bercakap tentang perkara yang berbeza.

Berhubung aspek kuantum pula,  ia mesti diumumkan secara terbuka agar ketelusan dan kebertanggungjawaban, serta tiada pihak boleh mengubah pendirian pada masa akan datang.

“Setelah kuantum dipersetujui, persoalan seterusnya ialah bagaimana bayaran itu akan dilaksanakan. Adakah ia akan dibuat secara tunai sepenuhnya?

“Atau boleh juga dalam bentuk lain seperti pertukaran tanah, pemindahan aset, atau bentuk pampasan yang bersamaan nilainya?,” tambahnya.

Dan, akhir sekali katanya, kedua-dua pihak perlu menentukan bila dan bagaimana bayaran ini akan dibuat.

“Adakah setiap suku tahun, setiap tahun, atau setiap lima tahun? Bagaimana pula dengan tunggakan terdahulu — adakah ia akan dibayar secara sekaligus atau berperingkat?,” tambahnya.

Abdul Rahman berkata, Kerajaan Persekutuan harus melihat perkara ini sebagai peluang untuk menutup satu bab lama yang telah sekian lama menjejaskan perpaduan nasional.

Jelasnya, Sabah dan Sarawak yang makmur bukanlah ancaman kepada Persekutuan — ia adalah satu kelebihan sebagai pemangkin ekonomi baharu Malaysia, menggerakkan negara ke arah pertumbuhan yang lebih tinggi, kekuatan ekonomi yang lebih segar, serta peluang dan perspektif baharu.

“Saya yakin penyelesaian yang aman dan rasional terhadap isu 40% ini akan menghasilkan situasi menang-menang untuk semua pihak. Ini bukan permainan sifar — kali ini, semua pihak menang,” menurut beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast