KUANTAN – Seorang pembantu rumah warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden mencederakan majikan dan anaknya pada semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata,
perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Wahidah Zainal Abidin sehingga 18 November ini.
Suspek dipercayai mencederakan dua beranak itu sehingga seorang daripadanya putus ibu jari tangan kiri.
“Perintah reman itu dibacakan di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pada 12 tengah hari susulan suspek yang berusia 44 tahun masih menjalani rawatan.
“Suspek perlu menjalani pembedahan kerana kecederaan di tangan kiri akibat kesan luka yang dalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Difahamkan mangsa wanita berusia 57 tahun stabil dan telah dibenarkan keluar hospital.
Manakala anak lelakinya berusia 28 tahun pula masih belum sedarkan diri selepas selesai pembedahan di sebuah hospital swasta.
Dalam kejadian 8.30 pagi semalam, dua beranak cedera dalam pergaduhan dengan pembantu rumah warga asing yang menggunakan pisau pemotong daging.
Akibat pergaduhan itu, mangsa luka di kepala dan ibu jari tangan kiri, manakala anaknya putus ibu jari tangan kiri, luka di kepala dan kaki. – MalaysiaGazette
















