Onn Hafiz semasa berucap dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Belanjawan Johor 2026 memperkenalkan 260 inisiatif baharu, merangkumi agenda pembangunan menyeluruh yang berteraskan amanah, kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, belanjawan itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam memastikan setiap hasil negeri dilunaskan dan dipulangkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai dasar, program dan projek berimpak tinggi.

“Syukur Alhamdulillah, Johor kini berada di landasan kukuh dengan hasil negeri diunjurkan mencecah RM2.55 bilion tahun depan yang tertinggi dalam sejarah negeri.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa hasil negeri bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi amanah yang akan dilunaskan dalam bentuk kesejahteraan dan manfaat sebenar kepada Bangsa Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini.

Selain itu katanya, pelaksanaan di bawah Enam Teras Maju Johor akan terus menjadi landasan kepada strategi pembangunan negeri menuju 2030, meliputi aspek kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial, kelestarian alam, dan tadbir urus berintegriti.

“Kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kekuatan fiskal mesti diterjemahkan kepada manfaat yang nyata, sama ada dalam bentuk peluang pekerjaan, pembangunan komuniti atau kemudahan awam yang lebih baik.

“Dengan 260 inisiatif yang diperkenal, Johor menzahirkan iltizam untuk memastikan setiap sektor terus berkembang dengan rakyat sebagai penerima manfaat utama,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast