AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbahasan mengenai hala tuju hukuman mati kembali menjadi tumpuan apabila Ahli Parlimen Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) hari ini meminta kerajaan menjelaskan sama ada Malaysia bersedia melangkah ke arah penghapusan sepenuhnya hukuman mati atau mengekalkan pendirian sedia ada.

Ketika mengemukakan soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Ramkarpal berkata trend semasa menunjukkan hukuman alternatif telah diketepikan untuk kebanyakan kes semakan, kecuali bagi kes bunuh.

Beliau ingin mengetahui sama ada kerajaan sudah bersedia mempertimbangkan ‘total abolition’ serta bila kajian rasmi akan dimulakan dan berapa lama ia dijangka berlangsung.

Ramkarpal turut meminta angka terkini pesalah yang telah dijatuhkan hukuman mati dan masih berada dalam senarai penjara.

Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M Kulasegaran menjelaskan kerajaan melihat penghapusan sepenuhnya hukuman mati sebagai isu besar yang memerlukan penelitian terperinci oleh kumpulan kerja khusus.

Beliau memaklumkan kajian berkenaan dijadual bermula pada Januari 2026 dan diperuntukkan tempoh empat bulan, namun kerajaan bersedia melanjutkan tempoh itu jika diperlukan untuk memastikan dapatan yang menyeluruh.

“Setakat 11 November tahun ini. data Jabatan Penjara Malaysia menunjukkan terdapat 97 individu yang telah disabitkan dengan hukuman mati dan masih belum menjalani hukuman tersebut.

“Mereka berada pada pelbagai peringkat proses undang-undang, termasuk menunggu keputusan rayuan terakhir atau berpeluang mengemukakan permohonan pengampunan,” katanya. 

Isu hala tuju hukuman mati turut disentuh oleh ahli-ahli Dewan Rakyat lain yang mempersoalkan sama ada Malaysia akan mencontohi beberapa negara serantau yang telah menghentikan pelaksanaan hukuman itu sama ada melalui pemansuhan undang-undang atau amalan moratorium jangka panjang.

Kata Kulasegaran, beliau berharap jawatankuasa khas yang akan dibentuk pada Januari nanti dapat menghasilkan dapatan yang dapat menggerakkan kerajaan kepada keputusan dasar yang lebih jelas selepas penelitian rapi dibuat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast