Lebih 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dan dibawa ke IPK Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISBH ketika di Bandar Country Homes, Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini berkaitan kes pendakwaan melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang menimbulkan keresahan awam mengenai tahap perlindungan hak kanak-kanak di Malaysia.

Suhakam dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum lebih 400 kanak-kanak, termasuk bayi telah diselamatkan daripada rumah jagaan yang dikendalikan oleh GISBH selepas tindakan penguatkuasaan bersepadu dijalankan pada penghujung tahun 2024.

Menurutnya, dakwaan berhubung penderaan fizikal, pengabaian serta perlakuan jenayah seksual, di samping laporan mengenai eksploitasi ekonomi terhadap kanak-kanak adalah pelanggaran serius terhadap hak asasi dan maruah mereka.

Tegasnya, kepimpinan dan pemilik GISBH gagal untuk melindungi kanak-kanak di bawah jagaan mereka, bahkan mendedahkan mereka kepada eksploitasi dan penderaan yang merupakan pelanggaran berat terhadap tanggungjawab undang-undang dan moral.

“Perkara ini menimbulkan kebimbangan awam susulan laporan bahawa sebahagian pemimpin GISBH telah dibebaskan atau dikenakan pertuduhan yang lebih ringan, sekali gus menimbulkan desakan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak lebih telus dan bertanggungjawab,’ katanya.

Tambah kenyataan itu, sebagai sebuah negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Suhakam menegaskan bahawa undang-undang negara mesti dikuatkuasakan sepenuhnya.

Katanya, ia bagi melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan, penderaan, pengabaian dan eksploitasi ekonomi khususnya kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ujarnya, segala keputusan berkaitan pendakwaan bagi kesalahan seumpama itu hendaklah mengutamakan keadilan, perlindungan dan pencegahan, serta sentiasa berpaksikan kepada kepentingan terbaik kanak-kanak.

“Sehubungan itu, Suhakam menggesa AGC untuk memberikan penjelasan terperinci dan terbuka kepada umum berhubung keputusan pendakwaan yang telah dibuat serta mendedahkan butiran kes berkaitan dakwaan penderaan seksual, keganasan dan eksploitasi, bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman dan keadilan.

“Bagi kes yang telah didakwa, pengadu dan kanak-kanak terlibat hendaklah dimaklumkan mengenai perkembangan serta langkah-langkah susulan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu segera meneliti semula dan memperkukuh peraturan serta pemantauan terhadap semua rumah kebajikan dan rumah berasaskan keagamaan.

Katanya, agensi penguatkuasaan pula harus memastikan siasatan dijalankan dengan segera, profesional dan penuh kepekaan terhadap mangsa kanak-kanak.

Selain itu, ujarnya, rumah kebajikan kanak-kanak persendirian hendaklah dikawal selia dengan sewajarnya dan dipertanggungjawabkan mengikut piawaian penjagaan dan perlindungan yang ditetapkan.

“Memandangkan Malaysia dijadualkan untuk semakan semula oleh Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun hadapan, ini merupakan peluang penting bagi Kerajaan untuk menunjukkan komitmen yang bermakna dalam menjunjung hak kanak-kanak melalui akauntabiliti, penguatkuasaan, dan pendakwaan berkesan terhadap jenayah terhadap kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan akauntabiliti dan pembaharuan sistemik, Suhakam sekali lagi mengulangi gesaan agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penderaan serta meneliti tadbir urus institusi kebajikan yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak.

Selain itu, katanya, Suhakam juga menggesa semua pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan semua kanak-kanak yang telah diselamatkan, termasuk mereka yang telah disatukan semula atau dikembalikan kepada keluarga, terus dipantau dan diberikan sokongan psikososial, tempat perlindungan yang selamat serta akses kepada keadilan, selaras dengan obligasi hak asasi manusia antarabangsa Malaysia.

“Langkah-langkah ini amat penting bagi menjamin keselamatan, pemulihan dan kesejahteraan berterusan setiap kanak-kanak,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB, Nasiruddin Mohd Ali, anak bekas pengasas Al-Arqam dan 11 pemimpin tertinggi syarikat itu dibebaskan setelah menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selama 13 bulan dan 20 hari. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast