TERESA Kok pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR –  Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (PH) membidas Kerajaan Negeri Kedah susulan dakwaan berulang Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang kononnya ‘dipajak’ daripada Kedah dan boleh dituntut semula.

Teresa berkata, sebelum kerajaan negeri itu bercakap mengenai mengambil alih Pulau Pinang, mereka sepatutnya terlebih dahulu membuktikan kemampuan membangunkan Langkawi yang berada sepenuhnya di bawah pentadbirannya.

“Bagaimana mereka berani kata mahu ambil alih Pulau Pinang sedangkan sebuah pulau kecil yang begitu indah seperti Langkawi pun gagal dibangunkan?

“Langkawi adalah permata pelancongan negara, tetapi di bawah Kerajaan Pas Kedah ia tidak dimajukan dengan serius,maji” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kegagalan itu turut menjejaskan kedatangan pelancong asing yang kini lebih memilih destinasi pulau di Thailand berbanding Langkawi.

“Ramai pelancong asing yang mahu bercuti di pulau kini memilih Thailand. Ini menunjukkan kelemahan kerajaan negeri dalam menjaga potensi pelancongan Langkawi,” katanya.

Teresa turut menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mengambil alih pentadbiran Langkawi dengan menjadikannya wilayah Persekutuan, wilayah khas atau zon antarabangsa supaya pembangunan pelancongan dapat dijalankan secara lebih terancang dan berimpak tinggi.

“Saya yakin jika Kerajaan Pusat mengambil alih, Langkawi boleh dibangunkan menjadi destinasi pelancongan antarabangsa yang lebih berdaya saing,” tegasnya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi memaklumkan Kedah sedang berada dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung kedudukan dan hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang.

Menurutnya, langkah tersebut dibuat susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, yang mahu isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan Pulau Pinang.

Isu tuntutan ke atas Pulau Pinang itu turut menghangatkan Dewan Rakyat semalam apabila beberapa Ahli Parlimen DAP bangun mempertahankan kedaulatan negeri tersebut.

Antaranya, RSN Rayer (PH–Jelutong) dan Ramkarpal Singh (PH–Bukit Gelugor) yang secara tegas menolak dakwaan Kedah sambil menegaskan Pulau Pinang merupakan negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia lengkap dengan kerajaan sendiri, bendera, lagu negeri serta pentadbirannya yang sah sejak merdeka.

Kedua-duanya menyifatkan kenyataan wakil rakyat Pas sebagai tidak berasas dan hanya menimbulkan kekeliruan serta polemik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Teresa Kok menegaskan, episod berterusan ini menunjukkan keperluan untuk kerajaan pusat memberikan penjelasan yang tuntas agar isu tuntutan Pulau Pinang tidak terus dimanipulasi.

“Saya berharap kerajaan pusat meneliti cadangan ini demi memulihkan imej Langkawi dan menghentikan polemik yang tidak berasas mengenai Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette

Rayer ‘sekolahkan’ Ahli Parlimen Pas isu kedaulatan Pulau Pinang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast