Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin memanggil semua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadiri satu pertemuan khas yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Menurutnya, pertemuan berkenaan adalah sesi biasa antara Presiden parti dan wakil-wakil rakyat Bersatu tanpa agenda luar jangka.

“Dapat (jemputan dari Tan Sri), kami ada minum-minum dengan Tan Sri dan jamuan makan. Hanya pertemuan di antara bapa Presiden dengan Ahli Parlimen Bersatu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Fathul Huzir turut mengesahkan jemputan itu melibatkan semua Ahli Parlimen Bersatu, namun tidak pasti sama ada semuanya dapat hadir.

“Tidak pasti sama ada semua hadir sebab mungkin ada yang sibuk,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang dipecat, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau tidak menerima sebarang jemputan daripada pejabat Muhyiddin.

“Saya tidak dapat. Tapi saya cadangkan tanya (Ahli Parlimen) Larut dan (Ahli Parlimen) Indera Mahkota sama ada dapat atau tak,” katanya melalui pesanan WhatsApp.

Fathul Huzir ketika diminta mengulas lanjut berkata, punca Wan Saiful tidak dijemput adalah kerana beliau telah dipecat daripada parti.

“Dia telah dikenakan tindakan disiplin dan yang dijemput adalah yang tiada hal apa-apa (dengan Presiden),” katanya.

Awal hari ini, MalaysiaGazette melaporkan bahawa Muhyiddin akan mengadakan satu pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Bersatu pada Selasa ini.

Menurut kandungan surat yang dilhat wartawan MalaysiaGazette, perjumpaan itu dianjurkan atas amanah yang diberikan oleh Presiden Bersatu sendiri bagi membolehkan sesi khas diadakan bersama semua Ahli Parlimen parti tersebut.

“Sukacita dimaklumkan bahawa saya telah diamanahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Mantan Perdana Menteri Kelapan merangkap Presiden Bersatu untuk menjemput Yang Berhormat ke satu pertemuan di antara Ahli-Ahli Parlimen Bersatu dan Presiden,” menurut jemputan berkenaan.

Pertemuan itu dijadual berlangsung pada 18 November ini, jam 8 malam di kediaman Muhyiddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast