SHAH ALAM – Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan dalam kes tembak di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Bukit Tinggi Klang pada 7 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mereka yang berusia antara 19 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar Klang dan direman sehingga 17 November.
“Siasatan masih berlangsung. Saya tidak boleh kerap beri ulasan kerana libatkan sensitiviti kes,” katanya ketika sidang media di IPK Selangor hari ini.
Ujarnya, pihak polis melaksanakan siasatan daripada pelbagai aspek berkaitan kes berkenaan.
“Pada peringkat ini PDRM menyiasat daripada lpelbagai aspek, tidak boleh hanya menjurus kepada aspek kongsi gelap sahaja. Kita perlu lihat daripada pelbagai aspek berdasarkan latar belakang si mati,” katanya lagi.
Pada Jumaat lalu, seorang lelaki warga tempatan maut dalam kejadian tembak di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Bukit Tinggi, Klang.
Dalam rakaman tular, seorang suspek dilihat melepaskan beberapa das tembakan ke arah hadapan kereta dan terkena mangsa berusia 34 tahun.
Kejadian dipercayai berlaku pada jam 11 malam.
Selepas tembakan itu, lelaki berkenaan diusung oleh petugas kesihatan untuk mendapatkan rawatan.- MalaysiaGazette
















