Shahrulufti Sharif.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyatakan solidariti penuh kepada peneroka Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang yang didakwa sedang berdepan pengusiran paksa serta perobohan rumah secara tidak berperikemanusiaan.

Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, peneroka di kawasan tersebut bukanlah setinggan, sebaliknya penduduk asal yang mempunyai sejarah penempatan lebih 80 tahun.

Menurutnya, peneroka telah menetap di kampung itu sejak 1939, manakala Lesen Pendudukan Sementara (TOL) pula diberikan antara 1968 hingga 1989, sekali gus menjadi bukti pengiktirafan rasmi kerajaan pada waktu itu.

“Arahan pengukuran tanah serta kutipan bayaran RM70 oleh kerajaan negeri pada tahun 1992 adalah “janji tersirat” bahawa hak milik akan diberikan kepada penduduk.

“Berlaku tindakan pengusiran dan perobohan rumah yang masih didiami, sekali gus bercanggah dengan arahan Menteri Besar Selangor yang sebelum ini hanya membenarkan perobohan rumah kosong.

“Penduduk serta aktivis yang cuba mempertahankan hak mereka turut ditahan. Ini merupakan pencabulan terhadap hak rakyat serta proses demokrasi,” dakwanya dalam kenyataan.

Shahrulufti turut mengkritik tindakan tersebut sebagai pengkhianatan terhadap rakyat sendiri dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

“Putra ingin menegaskan bahawa sebarang pembangunan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghapuskan sejarah dan hak penduduk yang telah menetap di kawasan berkenaan selama berdekad-dekad,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, Putra menetapkan pendiriannya melalui empat perkara utama, iaitu peneroka adalah rakyat sah yang telah dijanjikan hak milik tanah; perobohan tanpa rundingan dan pampasan adalah tindakan zalim; penahanan aktivis dianggap menindas suara rakyat serta kerajaan negeri Selangor wajib menjelaskan status tanah secara rasmi dan terbuka.

Dalam pada itu Shahrulutfi berkata, parti itu turut mengemukakan beberapa tuntutan, antaranya menghentikan semua pengusiran serta-merta, membebaskan individu yang ditahan, menubuhkan siasatan bebas mengenai dakwaan pelanggaran arahan menteri besar serta mengembalikan hak peneroka melalui pemberian geran milik atau pampasan yang adil.

Beliau menyeru rakyat, NGO dan parti politik lain untuk bersama mempertahankan hak peneroka Kampung Jalan Papan.

“Putra tidak akan berdiam diri. Kami akan terus bersuara, bertindak dan mendesak agar keadilan ditegakkan kerana amanah rakyat bukan barang dagangan,” tambahnya.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, operasi pengosongan dan perobohan rumah di Kampung Papan, Pandamaran, Klang perlu diuruskan dengan lebih tertib agar tidak mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, isu berkenaan ada disentuh secara ringkas menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada semalam, namun belum dibincangkan secara mendalam memandangkan ia melibatkan tanah milik persendirian.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan, perkara itu kini sedang diteliti oleh Jemaah Menteri memandangkan ia melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Isu perobohan rumah Kampung Papan perlu diurus lebih tertib

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast