SHAH ALAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) menafikan dakwaan kononnya syarikat itu dikawal atau didominasi oleh individu tertentu seperti yang tular dalam satu kumpulan WhatsApp ‘MB Selangor’ baru-baru ini.
Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Tahir berkata, tuduhan yang mengaitkan penguasaan projek, tender dan kedudukan dalam syarikat dengan seorang pegawai kerajaan negeri adalah tidak berasas sama sekali.
“Pihak KDEBWM ingin menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dikaitkan dengan syarikat dalam laporan tersebut, termasuk dakwaan kami dikawal oleh individu tertentu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Menurut Ramli, tiada monopoli atau penguasaan mana-mana individu dalam keputusan perolehan syarikat kerana semua proses tender tertakluk kepada tatakelola ketat.
“Semua proses perolehan syarikat dilaksanakan mengikut tatakelola yang ketat, termasuk penilaian menyeluruh dan sistematik oleh Jawatankuasa Penilaian Tender sebelum sesuatu cadangan dibawa untuk dipersetujui serta diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah KDEBWM,” tegasnya.
Beliau berkata, sebagai syarikat milik penuh kerajaan negeri, KDEBWM kekal komited kepada integriti, ketelusan dan pematuhan undang-undang dalam setiap operasi dan pengurusannya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tular dakwaan dalam kumpulan WhatsApp ‘MB Selangor’ yang dikendalikan individu dikenali sebagai ‘Madani’ kononnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu menjawab persoalan tentang kekayaan tidak dapat dijelaskan membabitkan seorang pegawainya yang didakwa memegang terlalu banyak jawatan dalam entiti berkaitan kerajaan negeri termasuk Ahli Lembaga KDEB.
Ramli sererusnya menegaskan, syarikat tidak pernah terlibat dalam sebarang salah guna kuasa sebagaimana yang cuba digambarkan oleh mesej berkenaan.
“Kami menasihatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial. Dakwaan seperti ini bukan sahaja mengelirukan malah boleh menjejaskan reputasi syarikat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















