ASGG Gluta Genc Glow Gummies.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan dan pengiklanan produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies selepas didapati mengandungi bahan aktif yang tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983.

Produk itu turut dikesan dijual di Shopee, Lazada dan TikTok dengan 121 permohonan sekatan iklan telah dihantar bagi menghentikan promosinya.

KKM memaklumkan produk tersebut mengandungi Glutathione iaitu bahan yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua Belas, Peraturan 26, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sebagai nutrien yang dibenarkan ditambah ke dalam makanan.

“Bahan ini tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam makana,  dan sebarang produk mengandungi Glutathione perlu berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” menurut kenyataan KKM.

“Di bawah Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983, pelanggaran boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, KKM menegaskan, produk tersebut tidak boleh dijual atau diiklankan dan semua peniaga termasuk peniaga dalam talian diarahkan menghentikan penjualan serta-merta serta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan penyitaan.

KKM mengingatkan pengguna agar berhati-hati ketika membeli produk makanan dan menasihatkan mereka yang sedang menggunakan produk berkenaan supaya menghentikannya segera serta mendapatkan nasihat profesional kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast