Pearly Tan-M. Thinaah. Foto FB BAM.

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah muncul juara Kejohanan Badminton Kumamoto Masters selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Pada perlawanan yang berlangsung selama 54 minit di Kumamoto Prefectural Gymnasium, Jepun itu, Pearly-Thinaah yang juga pilihan pertama kejohanan menang straight game dengan mata 22-20 dan 21-19.

Ini merupakan kejuaraan ketiga mereka tahun ini dalam tujuh perlawanan akhir kejohanan BWF yang disertai mereka selepas muncul juara Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland.

Pada perlawanan menentang Iwanaga-Nakanishi hari ini yang merupakan pilihan keempat kejohanan, pasangan negara itu bagaimanapun bermula agak perlahan apabila ketinggalan 0-7 pada set pertama.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah bangkit mengejar terutama selepas interval dan berjaya menyelamatkan tiga mata akhir pada kedudukan 17-20 sebelum memenangi set pertama dengan 22-20.

Set kedua pula bermula seimbang apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata dan meskipun ketinggalan pada mata 9-11 ketika interval, Pearly-Thinaah bagaimanapun berjaya menjarakkan mata pada hujung perlawanan sebelum mengesahkan kemenangan dengan mata 21-19.

Kemenangan ini sekali gus membawa bekalan selesa kepada pasangan beregu wanita negara berkenaan yang terlebih dahulu disahkan layak ke saingan BWF World Tour Finals 2025 di Hangzhou, China bulan depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast