WAKIL media yang menyertai Kejohanan Bowling Inter-Unit Amanah ke-23 anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi di bawah Pelaburan MARA Berhad, PMB di Wangsa Bowl, Wangsa Walk, semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 pasukan termasuk enam wakil media menyertai Kejohanan Bowling Inter-Unit Amanah ke-23 anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi di bawah Pelaburan MARA Berhad, PMB di Wangsa Bowl, Wangsa Walk semalam.

Acara tahunan itu menghimpunkan kira-kira 150 peserta dari syarikat amanah saham, firma pengurusan aset serta pemain industri yang lain.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) Pelaburan MARA Berhad, Mohd Adzhar Abdul Hamed, penganjuran kejohanan itu menunjukkan kepentingan memupuk hubungan yang kukuh dalam industri unit amanah merentasi urusan perniagaan semata-mata.

Katanya, kejohanan itu lebih daripada sekadar acara sukan semata-mata, sebaliknya turut mencerminkan komitmen untuk membina hubungan yang bermakna, menggalakkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan serta mengukuhkan komuniti profesional yang bersatu padu.

“Kejohanan ini menyediakan platform yang berharga untuk kita melangkah keluar daripada tanggungjawab harian dan berhubung dengan rakan sekerja serta rakan kongsi dalam persekitaran yang santai dan penuh semangat.

“Ikatan yang kita kukuhkan di sini hari ini menyumbang kepada industri unit amanah yang lebih kolaboratif dan berdaya tahan,” katanya ketika berucap merasmikan kejohanan tersebut.

Kejayaan kejohanan ini dapat direalisasikan hasil sokongan daripada 13 penaja, termasuk Phillip Capital; Zaibi Motor; City University Malaysia; Maybank Investment; TA Securities; BIMB Securities; Kenanga Investment; AmanahRaya Trustees; Hong Leong Investment, dan ahli-ahli lain Kumpulan Pelaburan MARA.

Dalam perlawanan penuh semangat itu, pasukan CIMB XXX03 telah muncul sebagai Johan Keseluruhan bagi kategori berpasukan dengan 2020 jatuhan pin; SME Bank B dengan 2005 jatuhan pin (naib juara), manakala pasukan CIMB XXX01 dengan 2004 jatuhan pin (tempat ketiga).

Kategori media turut menyaksikan pertandingan yang sengit yang mana pasukan Masuk TV Bowlers (TV3 Media Prima) muncul sebagai juara; NSTP Sharper Bowl (New Straits Times) (naib johan) manakala Golek Squad (Malaysia Gazette) berjaya menduduki tempat ketiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast