Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.- (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dilantik melaksanakan kuasa dan tugas Hakim Besar Malaya bermula Sabtu lalu sehingga kekosongan jawatan nombor tiga dalam hierarki kehakiman itu diisi secara hakiki.

Pelantikan itu dibuat susulan persaraan wajib 66 tahun Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim berkuatkuasa hari yang sama.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Abu Bakar dilantik mengikut Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Saya dengan ini melantik Yang Amat Arif (YAA) Datuk untuk menjalankan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Hakim Besar Malaya mulai 15 November 2025 sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025 (GAMBAR FAIL)

Kenyataan bertarikh semalam itu dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang diperoleh pihak media hari ini.

Hasnah bersara Jumaat lalu selepas berkhidmat selama 42 tahun dalam badan kehakiman.

Beliau dilahirkan pada 15 Mei 1959 di Kuantan, Pahang dan memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1 Ogos 1983 sebagai Penasihat Undang-Undang juga Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim beramah mesra bersama kakitangan sempena persaraan wajib 66 tahun di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 NOVEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang juga Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Telekomunikasi dan Pos serta Kementerian Kerja Raya.

Hasnah merupakan pegawai wanita pertama yang memegang jawatan Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor dan  dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Selangor pada 1994 dan kemudiannya di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast