KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 11% berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2024.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (S3 2025) adalah sebanyak RM25.07 bilion, meningkat 27% berbanding RM19.67 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pertumbuhan 11% dalam jumlah pendapatan pelaburan serta 12% dalam aset di bawah pengurusan adalah hasil pelaksanaan alokasi aset strategik yang membolehkan KWSP mengambil peluang daripada pemulihan pasaran ekuiti pasca ‘Liberation Day’.
“Kami yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia, yang merangkumi 61% portfolio KWSP, di samping melaksanakan strategi pelaburan global yang menyumbang 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku ini.
“Walaupun prestasi sembilan bulan pertama adalah memberangsangkan, kami kekal berwaspada memasuki suku keempat. Pertumbuhan dalam pasaran ekuiti global telah meningkatkan penilaian, manakala petunjuk ekonomi global yang tidak sekata boleh memperlahankan kadar penurunan kadar faedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KWSP menguruskan risiko-risiko ini secara aktif dengan mempercepatkan pengambilan keuntungan pada kadar yang mungkin sukar dilaksanakan pada S4,” tambah beliau.
KWSP berkata, sepanjang suku tahun yang dikaji, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan menjana RM16.95 bilion, atau 68% daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Walaupun sedikit menurun daripada RM18.35 bilion yang dicatatkan pada S3 2024, prestasi ini menunjukkan pemulihan berbanding prestasi yang lebih sederhana pada S1 dan S2 2025.
Pertumbuhan pasaran ekuiti global sepanjang suku tersebut membolehkan pengurus dana KWSP memanfaatkan peluang pasaran dan mengambil keuntungan.
Instrumen pendapatan tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal dengan menjana RM6.75 bilion, atau 27% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tahun tersebut.
Kelas aset ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, menyediakan aliran pendapatan yang stabil dan membantu mengimbangi turun naik pasaran jangka pendek, sekali gus menyokong kestabilan keseluruhan portfolio.
Hartanah dan infrastruktur menyumbang RM1.14 bilion (4%), manakala instrumen pasaran wang pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.23 bilion (1%).
Daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi S3 2025, sebanyak RM20.48 bilion dijana untuk simpanan konvensional, manakala RM4.59 bilion untuk Simpanan Syariah.
Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12% berbanding tahun sebelumnya.
Pelaburan antarabangsa merangkumi 39% daripada jumlah aset, disokong oleh penilaian pasaran ekuiti global yang berdaya tahan.
Sepanjang suku tersebut, pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion, iaitu 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Pasaran tenaga buruh Malaysia dijangka berdaya tahan pada suku terakhir, disokong oleh langkah-langkah dalam Belanjawan 2026, kestabilan makroekonomi, serta pelaburan langsung domestik dan asing.
Kadar pengangguran menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 3.0% pada September 2025 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Selaras dengan kekuatan pasaran tenaga buruh, KWSP mendaftarkan 427,329 ahli baharu sepanjang 9M 2025, menjadikan jumlah keseluruhan ahli meningkat kepada lebih 16.5 juta.
Daripada jumlah tersebut, 9.07 juta ialah ahli aktif, mewakili 51.7% daripada 17.54 juta tenaga buruh setakat September 2025.
Manakala nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 55:45 untuk 9 bulan 2025.
Katanya, pendaftaran majikan baharu mencapai 62,401, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP sebanyak 628,321 setakat September 2025.
Dalam tempoh suku tahunan, jumlah caruman meningkat sebanyak 10.5% kepada RM27.84 bilion, berbanding
RM25.20 bilion pada S3 2024.
Jumlah caruman sukarela meningkat sebanyak 47.5% kepada RM15.30 bilion pada 9M 2025, berbanding RM10.37 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan tersebut, jumlah ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup (dahulunya dikenali sebagai Voluntary Excess) ialah 231,034, berbanding 172,829 pada tempoh yang sama tahun lalu. – MalaysiaGazette
















