Gambar suspek warga asing dan juga hasil rampasan dadah serta bahan-bahan lain. Sumber IPD Miri.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Batu Niah, Sarawak semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, hasil dari penangkapan tersebut, pihaknya telah menjumpai satu bag yang mengandungi tiga bungkusan plastic lutsinar yang disyaki berisi dadah dalam bilik sewanya.

“Tiga plastik tersebut berisi ketulan-ketulan kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine di atas lantai ruang tamu rumah sewa berkenaan.

“Berat bungkusan itu lebih kurang 147.20 gram, dengan nilai rampasan sebanyak RM14,720,” katanya dalam kenyataan di akaun rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Tambah Mohd Farhan, pihaknya turut menyita sebuah motorsikal dan merampas wang tunai sebanyak RM1048 di lokasi kejadian.

Suspek ditahan di Lokap Balai Polis Pusat untuk tindakan lanjut dan akan dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Menurutnya, jika suspek tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah akan dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Mohd Farhan menegaskan, polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan IPD Miri akan meneruskan siasatan bagi mengesan baki individu yang terlibat dalam sindiket berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast