Tian Soon semasa menjawab soalan dalam sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Isu kekurangan jururawat di Johor masih belum berada pada tahap kritikal ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Johor, Ling Tian Soon berkata, meskipun memang ada masalah kekurangan jururawat, isu berkenaan akan berlaku apabila beberapa fasiliti kesihatan baru di negeri ini mula beroperasi.

Menurutnya, data yang dilaporkan jumlah kekosongan penjawatan yang ada dalam negeri Johor adalah sebanyak 4,648 dan meskipun jumlah kekosongan itu kelihatan besar, namun sebanyak 2,547 kekosongan telah diisikan dengan menggunakan cara kontrak.

“Kalau kita kontrakkan kedua-duanya pengisian ataupun sumber manusia dalam bidang kesihatan negeri Johor ni telah diisi lebih kurang 92 ataupun 93 peratus. Tetapi yang apa yang paling kurang adalah jururawat.

“Seperti yang sudah lama kita bincangkan tentang isu kekurangan jurawat dalam negeri Johor dan ini bukan isu Johor sahaja, sebenarnya ini adalah isu nasional.

“Semua negeri berhadapan dengan masalah kekurangan jururawat dan beberapa kali menteri telah memberi kenyataan tersebut, cara-cara ataupun apa dasar yang akan dilaksanakan oleh pihak kementerian supaya dapat bantu untuk mengurangkan situasi itu.

“Kita Johor ini sedang berhadapan dengan kekurangan jurawat lebih kurang 1,700 orang keseluruhan satu negeri Johor, di mana yang paling banyaknya adalah untuk pengoperasian Hospital Pasir Gudang (HPG) kerana kami sedang buat persediaan, persiapan untuk pengoperasian sepenuhnya bagi HPG. Oleh itu kami ada banyak perjawatan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Katanya, satu taskforce juga telah ditubuhkan di antara kerajaan negeri Johor bersama-sama dengan pihak kementerian yang akan membincangkan beberapa isu seperti naiktaraf fasiliti kesihatan serta persiapan pengoperasian HPG juga untuk projek-projek baru yang telah diumumkan pihak kementerian.

“Menteri juga ambil maklum tentang isu yang sedang dihadapi oleh Johor ini dan saya yakin di atas bantuan daripada pihak kementerian dan juga menteri kami dapat melesaikan, melegakan keadaan tersebut fasa demi fasa,” katanya.

Mengenai isu jururawat berhijrah ke Singapura, tambahnya, sejak Januari sehingga Oktober lalu hanya ada 64 jururawat telah letak jawatan dengan pelbagai sebab.

“Mungkin ada yang nak berhijrah (ke Singapura), mungkin ada sebahagian disebabkan kesihatan dan juga isu kekeluarga. Memang ada (hijrah) tapi dia bukan satu nombor yang sangat besar.

“Oleh itu saya ucap terima kasih kepada mereka yang masih kekal lagi dalam sistem kesihatan kerajaan. Mereka bertungkus-lumus untuk membantu, untuk menjaga kepada pesakit dalam sistem kesihatan ataupun dalam hospital kerajaan ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast