KOTA KINABALU – Berbanding dengan politik Semenanjung dengan perikatan, barisan dan pakatan yang jelas, keadaan Pilihan Raya Negeri Sabah boleh dikatakan jauh lebih rumit.
Ada yang menggambarkan keadaan di Sabah sebagai berdinamik, tetapi ada yang melihatnya sebagai kucar-kacir dengan adegan seperti abang melawan adik, anak mengganti ayah bertanding, malahan terdapat keadaan di mana suami dan isteri bertanding bersama-sama, tetapi di kerusi yang berjauhan.
Jika ditambahkan sejarah ahli politik yang selalu melompat, malahan bertukar tiga parti dalam tempoh kurang lima tahun, maka sesungguhnya politik Sabah adalah terlalu mengasyikkan.
Dalam analisis Seehua Daily, akhbar asal Borneo itu merumuskan bahawa Pilihan Raya Sabah kali ini melibatkan tiga calon ketua menteri, dua pembuat raja dari Semenanjung, empat kuasa tempatan dan banyak lagi kuasa kecil.
Menurut akhbar itu, tiga panglima utama yang berpotensi menjadi Ketua Menteri Sabah adalah Datuk Seri Hajiji Noor yang memimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memimpin Barisan Nasional Sabah (BN Sabah) dan Datuk Seri Shafie Apdal yang memimpin Warisan.
Daripadanya, Warisan merupakan satu-satunya parti yang enggan bekerjasama dengan parti lain dan mengharapkan kemenangan majoriti mudah dengan sendirinya.
Dalam pada itu, jika berlaku keadaan “tergantung” iaitu tiada mana-mana pihak yang membentuk kerajaan, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), kedua-duanya dilihat sebagai parti Semenanjung, mampu memainkan peranan sebagai pembuat raja.
Keadaan itu sekali gus bermakna PH dan PN mungkin menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah di antara tiga orang iaitu Shafie, Hajiji dan Bung Moktar.
Selain parti Semenanjung, terdapat juga parti-parti tempatan seperti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang memperjuangkan “Sabah untuk Orang Sabah.”
Menariknya, keempat-empat parti ini mempunyai sejarah tersendiri dengan SAPP dan Star baru sahaja keluar daripada GRS manakala UPKO baru sahaja keluar daripada PH. Bagi KDM pula, ia merupakan pecahan daripada Warisan.
Namun selain pakatan dan parti individu yang ada, tidak lupa juga adalah calon-calon bebas yang akan bertanding.
Analisis China Press antaranya menarik perhatian bahawa ketika calon bebas boleh dikatakan semakin pupus di Semenanjung, mereka masih mempunyai pasaran yang baik di Sabah, antaranya didorong oleh sentimen orang Sabah yang selalu memilih calon dan bukan parti.
Sebagai rekod, tiga orang calon bebas telah menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, iaitu di Pitas, Kemabong dan Kuamut.
Menariknya, ketiga-tiga calon bebas yang menang pada 2020 itu akan mempertahankan kerusi masing-masing menggunakan panji GRS pada 2025.
















