MERSING – UMNO Bahagian Mersing mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, memberi penjelasan berhubung tindakannya bangun menyokong usul keluar Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 parti itu, di Selangor semalam.
Ketua UMNO Bahagian Mersing, Youzaimi Yusof berkata, tindakan K Raven Kumar itu amat mengecewakan dalam kalangan ahli serta jentera parti di peringkat bahagian dan cawangan, khususnya mereka yang bekerja keras memenangkannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
“Seluruh ahli UMNO dalam Bahagian Mersing dan juga penyokong-penyokong BN khususnya di DUN Tenggaroh sangat hampa dengan sikap YB yang bertindak sedemikian rupa.
“Tidak menghormati kami di Mersing yang selama ini menyokong YB atas semangat BN,” tulisnya dalam Facebook miliknya, hari ini.
Menurut beliau, jentera UMNO dan BN Mersing selama ini memberikan komitmen sepenuhnya atas semangat setia kepada parti berkenaan.
“Dah terang lagi bersuluh dengan gambar yang ada itu dan video yang sedang viral. Tidakkah YB berfikir yang YB menang di DUN Tenggaroh itu adalah atas kerusi BN?
“Semua jentera UMNO dan BN Mersing yang bertungkus-lumus, bekerja siang dan malam tak kira penat dan lelah untuk memenangkan YB pada masa PRN Johor yang lepas.
“Walaupun YB bukan calon daripada UMNO tapi atas semangat BN kami semua bekerja bermati-matian untuk memenangkan YB di DUN Tenggaroh ini,” katanya.
K Raven Kumar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri merupakan ADUN Tenggaroh bagi penggal ketiga berturut-turut.
Beliau mencipta hatrik mempertahankan kerusi berkenaan selepas memperoleh majoriti 1,356 undi menewaskan tiga lagi pesaingnya pada PRN Johor pada 2022. – MalaysiaGazette
















