GEORGE TOWN – “Saya masih menanti kepulangan suami.”
Itu luahan isteri kepada lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada Ahad lalu.
Hampir 40 jam selepas kejadian, wanita dikenali sebagai Mummylee itu terus berharap suaminya akan ditemui dalam keadaan selamat.
Menerusi beberapa perkongsian di akaun TikTok, wanita tersebut merayu orang ramai supaya berhenti menulis komen negatif terkait kejadian tersebut selain meminta pengguna media sosial menjaga hati dan perasaannya yang sedang berdepan dugaan berat.
Menurutnya, kecaman yang diterima hanya menambah beban emosi ketika dia masih bersedih menunggu khabar mengenai suaminya.
“Kalau tiada benda nak ditaip, lebih baik diam. Jangan buat andaian sendiri,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakannya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga menegaskan, hanya Tuhan yang mampu membalas setiap kata-kata buruk yang dilemparkan terhadap keluarganya.
Beliau berkata, doa orang ramai lebih bermakna daripada andaian yang menyakitkan.
Dalam hantaran sama, wanita yang sedang hamil anak ketiga itu turut menjelaskan dia sendiri tidak mengetahui apa yang dilalui suaminya sehingga bertindak sedemikian.
Katanya, sebagai isteri yang hidup sebumbung, dia juga tidak menyedari tekanan yang mungkin dihadapi lelaki itu.
“Saya minta jasa baik semua. Kita tak duduk dalam kasut dia (suami), tak tahu apa dia rasa. Tolong jaga hati dan mental saya,” katanya.
Media pada Ahad lalu melaporkan, seorang llaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang dari pulau menghala ke Perai.
Mangsa dikatakan meninggalkan bungkusan plastik berisi pakaian, telefon bimbit dan motosikal Yamaha Y16 di tepi tembok jambatan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Operasi cari pemuda jatuh dari Jambatan P. Pinang diperluas hingga 4km
















