KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China ditahan di Balai Ketibaan Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) selepas dipercayai cuba membawa masuk 6,884 gram dadah jenis ketamin.
Pengarah Kastam Jabatan Kastam Diraja Malaysia LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, suspek dicekup oleh anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sepadan Malaysia (AKPS) selepas imbasan pada bagasinya mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi telah menjumpai beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran nilai RM344,000.
“Ia turut dibalut dengan pembalut aluminium yang ditutup dengan papan dan disorokkan di bahagian dalam pelapik kain beg bagasi tersebut,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Suspek telah dituduh di mahkamah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Berhubung daripada kejadian tersebut, Zulkifli menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan penyuludupan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan menerusi talian bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
Identiti penyampai maklumat akan dirahsiakan dan dijaga oleh JKDM, katanya. – MalaysiaGazette
















