Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo pada Mesyuarat.

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital sedang membangunkan MyGOV Malaysia sebagai super app yang akan meliputi semua perkhidmatan digital kerajaan.

Menurut menterinya, Gobind Singh Deo, aplikasi menggunakan MyDigital ID itu akan melibatkan rakyat, merangkumi perkhidmatan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pelaksanaannya dibuat secara berfasa tertakluk kepada ketersediaan agensi dan tahap integrasi setiap perkhidmatan memandangkan setiap sistem mempunyai keperluan teknikal yang berbeza, termasuk perkhidmatan yang melibatkan transaksi pembayaran yang memerlukan integrasi lebih teliti bagi memastikan keselamatan dan keserasian sistem,” katanya pada siding Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Gobind, pada fasa awal, MyGOV Malaysia menyediakan 36 perkhidmatan secara integrasi melibatkan 13 agensi kerajaan.

“Ini termasuk lapan perkhidmatan MyJPJ seperti semakan lesen kenderaan, saman, nombor pendaftaran terkini, status senarai hitam, keputusan ujian memandu, maklumat lesen memandu, semakan mata demerit dan paparan Kad Digital lesen memandu serta lesen kenderaan motor.

“Turut diintegrasikan ialah perkhidmatan Jabatan Imigresen,” katanya.

Dalam masa yang sama kementerian itu sedang dalam proses menambah 16 lagi perkhidmatan yang akan diintegrasi menerusi MyGOV Malaysia.

“Perkhidmatan tambahan merangkumi lesen memandu, pembaharuan cukai jalan, pembayaran saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pembayaran bil utiliti (elektrik, air dan pembetungan), pembayaran zakat serta pembayaran saman dan cukai PBT.

“Selain itu, perkhidmatan MyBAYAR PDRM, permohonan MyKad gantian (JPN), permohonan wang tak dituntut melalui sistem e-GUMIS (JANM) dan Portal Manfaat di bawah Kementerian Kewangan turut berada dalam fasa pelaksanaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Gobind menyatakan proses integrasi kini berada di peringkat teknikal.

Jelasnya, Kementerian Digital akan memastikan MyGOV Malaysia menjadi platform utama rakyat dalam mengakses perkhidmatan digital kerajaan.

“Pelaksanaan secara berfasa ini penting bagi memastikan setiap integrasi adalah stabil, selamat dan bersedia sepenuhnya sebelum diperkenalkan kepada rakyat,” tambahnya.

Sebagai rekod, MyGOV Malaysia versi beta telah dilancarkan bermula 16 Ogos 2025 dan sehingga 17 November lalu, aplikasi itu telah mencatat 113,170 muat turun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast