Gabriel Palmero. Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Seorang daripada tujuh pemain warisan yang terbabit dengan dakwaan pemalsuan dokumen dilaporkan ‘terlepas cakap’ ketika ditemubual dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Insiden itu berlaku ketika dia yang dirujuk ‘Pemain 1’ yang dikongsikan dalam laporan alasan penuh Jawatankuasa Rayuan badan bola sepak dunia itu hari ini.

Menurut laporan itu, pemain itu tersasul ketika memberitahu negara asal neneknya yang menimbulkan keraguan dalam siasatan jawatankuasa berkenaan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain itu.

“Berhubung ‘Player 1’, dia tidak dapat menyediakan salinan dokumen yang diserahkan kepada ejennya semasa makan bersama bapanya.

“Ini menyebabkan pemeriksaan hanya kepada (a) sijil kelahiran neneknya, Maria Belen Concepcion Martin, lahir pada 16 Mei 1956, yang dikemukakan oleh FAM dalam siasatan kelayakan, (b) sijil kelahiran yang diperoleh oleh pentadbiran FIFA dan (c) sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

“Dalam hal ini, jawatankuasa menganggap kenyataan Pemain 1 semasa pendengaran adalah amat penting. Dia adalah pemain terakhir yang ditemubual.

“Jawapan pertamanya kepada soalan mengenai tempat kelahiran neneknya ialah Sepanyol tetapi kemudian membetulkan dan menyatakan ‘Malaysia’.

“Kata-kata tepatnya ialah: “Datuk saya dilahirkan di Venezuela dan nenek saya di Sepanyol… Maksud saya Malaysia, maaf”,” dedah FIFA dalam laporan itu.

Berdasarkan laporan penuh setebal 64 muka surat itu, Player 1 yang disebut itu merujuk kepada Gabriel Felipe Arrocha atau Gabriel Palmero dan nama neneknya, Maria Belen Concepcion Martin disebut dalam laporan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast