KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 50-an berstatus suami orang dan seorang wanita berusia 30-an yang juga isteri orang ditangkap kerana disyaki melakukan perbuatan khalwat di bilik hotel di Kluang, Johor awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), sewaktu operasi, penguat kuasa telah mengetuk pintu bilik hotel dan ia dibuka selepas lebih daripada lima minit.
“Pasangan terbabit cuba menutup pintu apabila menyedari kehadiran penguat kuasa namun tindakan tersebut berjaya dihalang dan pemeriksaan diteruskan,” katanya dalam kenyataan di akaun rasmi Facebook JAINJ.
Tambah JAINJ, pemeriksaan di dalam bilik itu mendapati pintu tandas ditutup dan dikunci dan mendapati wanita terbabit berada di dalamnya.
Selepas itu, akhirnya wanita berkenaan yang memakai baju t-shirt, berseluar panjang serta menutup kepala keluar daripada tandas.
“Lelaki tersebut mendakwa wanita itu adalah adik angkatnya namun hubungan mereka bukan mahram dan bukan suami isteri.
“Pemeriksaan mendapati didapati pasangan ini satu tempat kerja yang saling mengenali pasangan masing-masing namun mengekalkan hubungan secara rahsia,” ujar JAINJ.
Pasangan berkenaan kemudian ditangkap di bawah Seksyen 27 Enakmen Jenayah Syariah Johor 1997 kerana melakukan khalwat. -MalaysiaGazette
















