Tujuh warga asing ditahan tidak mempunyai identiti yang sah dan bersembunyi di kawasan semak di pesisir Pantai Forest City, Johor. - Sumber PDRM.

KUALA LUMPUR – Tujuh warga asing terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita lingkungan 25 hingga 45 tahun ditahan selepas dikesan bersembunyi di kawasan semak di pesisir Pantai Forest City, Johor semalam.

Timbalan ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, kesemua mereka ditemui oleh anggota Botronda Polis RH 67 dan PC 4 dari Pasukan Polis Marin Wilayah Dua yang menjalankan operasi pemantaun di situ.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sepatutnya.

“Sewaktu penahanan itu, polis turut merampas tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TambahAbdul Latiff, kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, kesemua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara lebih lima tahun atau kedua-duanya dan dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan.

Sehubungan itu, orang ramai digesa agar menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast