KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR) telah mengadakan Mesyuarat bagi menegaskan komitmen terhadap pemantaun bebas dan pengukuhan integriti nasional seperti digariskan Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mesyuarat ini memberi fokus kepada pembentangan ulasan menyeluruh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkaitan kecekapan perlaksanaan fungsi SPRM.
“Pada masa yang sama mesyuarat kali ini juga untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai Laporan Tahunan SPRM bagi Tahun 2021 sehingga 2024 dan ulasan LPPR bagi tahun 2024,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambah SPRM, JKmR memaklumkan bahawa dapatan kali ini amat signifikan kerana melibatkan isu-isu utama seperti status penguatkuasaan, aspek prosedur dan kawal selia, keberkesanan pencegahan, serta aspek pengurusan tadbir urus SPRM
Jelas SPRM, semua perkara ini akan diperhalusi JKmR dalam memastikan fungsi semak dan imbang akan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan telus.
“Laporan Tahunan 2024 akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada Disember depan, sebelum dibentangkan kepada semua Majlis Parlimen sesuai dengan subseksyan 1(5) Akta 694,” ujarnya.
JKmr menegaskan bahawa proses ini merupakan usaha yang berterusan dalam memastikan sistem pencegahan rasuah negara kekal kukuh, bebas dan berintegriti demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah selaku Pengerusi JKmR dan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, TanSri Azam Baki. -MalaysiaGazette
















