KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh kerjasama halal dengan China menerusi komitmen tinggi negara itu untuk melabur dalam pelbagai segmen industri halal membabitkan makanan, farmaseutikal, bioteknologi dan pembuatan bernilai tinggi
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu hasil siri lawatan beliau ke China sepanjang 2024 yang membuka ruang kepada pelaburan baharu dianggarkan berjumlah RM4 bilion selepas perbincangan mendalam bersama pemain utama industri halal negara tersebut.
“Pada lawatan saya ke beberapa wilayah di China, kami mengadakan sesi libat urus khusus dengan industri halal mereka yang semakin berkembang.
“Antara fokus perbincangan ialah makanan halal, farmaseutikal, bioteknologi dan high-value manufacturing,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi China Global 2025 bertemakan “Kepimpinan & Perkongsian Global dalam Era Transformasi Digital dan Hijau” di Dewan Wisma MCA, di sini, hari ini.
Menurutnya, potensi pasaran halal China amat besar memandangkan negara itu sedang memperluas ekosistem halal domestik dan memerlukan rakan strategik dari segi pensijilan, teknologi serta standard antarabangsa dimana bidang yang menjadi kekuatan utama Malaysia.
Tambanya, kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa dapat dilihat melalui penganjuran MIHAS@Shanghai baru-baru ini apabila syarikat-syarikat Malaysia berjaya menjana jualan sebanyak RM3.2 bilion, jauh melepasi sasaran asal RM2.5 bilion.
Beliau berkata, kejayaan itu turut diiringi penandatanganan pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dalam perdagangan halal, pendidikan, teknologi dan inovasi yang membuka lebih banyak laluan pasaran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
“Ini bukan hasil bersifat upacara. Ia membuka pasaran sebenar untuk PKS kita, menyediakan laluan pendidikan untuk pelajar dan mengukuhkan rangkaian industri antara kedua-dua negara,” katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa kerjasama halal Malaysia–China kini berada pada tahap paling kukuh.
Jelas beliau, Malaysia komited memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang halal melalui TVET, selain memantapkan teknologi pengeluaran dan standard pensijilan bagi memanfaatkan permintaan tinggi daripada pasaran China yang semakin berkembang.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai peneraju global industri halal dengan memastikan kerjasama strategik bersama China memberi manfaat langsung kepada komuniti perniagaan, pelajar serta industri dalam negara. – MalaysiaGazette
















