ISKANDAR PUTERI – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini diberitahu, dua projek loji rawatan air (LRA) dengan kos RM184 juta sedang dibina dan dijadual siap dalam tempoh dua tahun ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh, bagi LRA Pakej Plant Semanggar dengan kos RM70 juta yang mempunyai kapisiti 50 liter sehari (JLH), mampu membekalkan bekalan air di kawasan Kulai dan Sedenak.
Jelasnya, LRA tersebut dijadualkan siap pada tahun depan manakala LRA Layang 2 Fasa 2 dengan kos RM114 juta mempunyai kapasiti 160 JLH mampu membekalkan ke kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
Selain itu katanya, dua projek yang dalam pelaksanaan adalah LRA Pakej Plant Semanggar bernilai RM70 juta dengan kapisiti 50 JLH yang bakal siap 2026.
“LRA ini akan memberikan bekalan air di kawasan Kulai dan Sedenak manakala bagi Projek LRA Layang 2 Fasa 2 dijangka siap pada 2027 dengan kapasiti 160 JLH mampu membekalkan air ke kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri. Projek ini bernilai RM114 juta.
“Sementara projek LRA Semangar 3 dan LRA Kayu Ara Pasong yang masing-masing bernilai RM750 juta dan RM537 juta sedang dalam peringkat konsep reka bentuk dan reka bentuk terperinci,” katanya dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Beliau (BN-Bukit Pasir) berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkenaan status terkini projek LRA baharu yang dirancang di Johor serta bagaimana kerajaan negeri menjamin bekalan air bersih cukup sehingga 2030.
Mengulas lanjut, Fazli berkata, dua projek LRA tersebut akan memberi manfaat di kawasan Johor Bahru, Kulai dan Pontian dengan jumlah kapasiti 290 JLH.
Jelasnya, semua projek LRA tersebut yang melibatkan kerajaan negeri bersama-sama kerajaan Persekutuan adalah bagi memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dan mampan.
Menurutnya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi memantau kemajuan projek-projek yang melibatkan bekalan sumber air dan juga air terawat serta projek-projek tebatan banjir di Johor.
“Pada awalnya, jawatankuasa ini dipengerusikan secara bersama-sama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli dan saya sendiri, namum mesyuarat jawatankuasa seterusnya akan dipengerusikan oleh Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir,” katanya.
Ujarnya, berdasarkan unjuran semasa, permintaan air terawat di Johor dijangka terus meningkat selari dengan pertumbuhan penduduk, pembangunan industri serta pelaksanaan inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan pusat data.
Terdapat 48 LRA katanya, dengan kapasiti rekabentuk LRA sedia ada 2,352 JLH dan purata pengeluaran pada tahun 2025 adalah 2,037 JLH.
“Unjuran bagi tahun 2030 ialah 2,700 JLH, pada 2035 meningkat kepada 3,000 JLH manakala bagi tahun 2040 ianya meningkat lagi kepada 3,300 JLH,” katanya .
Beliau menambah, peningkatan permintaan tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk pembangunan baru infrastruktur bekalan air di Johor.
“Penilaian yang dibuat oleh pihak Ranhill SAJ, kemudiannya perancangan diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan akhirnya pembiayaan
diluluskan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), lima projek pembangunan LRA dijangka bakal siap menjelang tahun 2035,” katanya.- MalaysiaGazette
















