BATU CAVES – Runtuhan struktur sementara steel canopy di tapak binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lapan dipercayai berpunca daripada perlanggaran boom jentera skylift sehingga menyebabkan kemalangan di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang semalam, seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dibawanya dihempap dengan struktur daripada projek berkenaan, namun mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam di kawasan kejadian.
Timbalan Menteri Sumber manusia, Datuk Abdul Rahman Mohamad yang melawat lokasi kejadian hari ini berkata, siasatan awal berkaitan punca kejadian telah disiasat oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor.
Jelas beliau, insiden ini berlaku ekoran daripada perlanggaran boom jentera skylift semasa kerja pemeriksaan ketebalan cat dijalankan oleh subkontraktor Wuhan Construction Sdn. Bhd.

“Proses yang dijalankan ini dilakukan tanpa permit yang sah daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn. Bhd.
“Oleh itu, tindakan penguatkuasaan telah dikeluarkan dengan Notis Larangan kepada Kontraktor Utama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Tambah Abdul Rahman, akta ini bertujuan untuk melarang mereka daripada meneruskan kerja pemeriksaan ketebalan cat pada struktur tersebut sehingga satu sistem kerja selamat diwujudkan dan disahkan oleh JKKP.
Selain itu, beliau turut meminta semua kontraktor mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kamalangan di tapak pembinaan yang mungkin mengakibatkan kejadian sama berulang kembali.
“Semua kontraktor dan subkontraktor untuk mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 dalam memastikan pentaksiran risiko dilakukan seawal peringkat reka bentuk dan secara berterusan sepanjang tempoh projek bagi mengenal pasti bahaya dan mengambil langkah pencegahan seawal mungkin,” ujarnya.
Mengulas mengenai keadaan mangsa, Abdul Rahman berkata, dia masih trauma namun tidak mengalami sebarang kecederaan dan diberikan cuti sakit selama tiga hari. – MalaysiaGazette
















