PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berada di kedudukan ke-538 terbaik dunia berbanding di tangga ke-699 tahun lalu dalam QS World University Rankings (QSWUR) : Sustainability 2026 pada 18 November lalu.
Kejayaan ini menyaksikan UMPSA berada di tangga ke-133 Asia, kedudukan 11 terbaik di Malaysia dan nombor satu terbaik dalam kalangan Malaysia Technical University Network (MTUN) yang mengiktiraf komitmen universiti terhadap agenda kelestarian global.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, pencapaian prestasi ini mencerminkan komitmen tinggi UMPSA untuk menyematkan kemampanan merentasi penyelidikan, pengajaran, tadbir urus dan penglibatan komuniti.
Beliau berkata, UMPSA berjaya mengukuhkan kedudukan sebaris dengan universiti bertaraf dunia serta menghasilkan program akademik diiktiraf di peringkat global dengan penyelidikan berkualiti serta memberi impak terhadap pendidikan tinggi negara.
“Pencapaian itu menjadikan sumber kebanggaan buat seluruh warga UMPSA yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kerjasama industri dan peningkatan penyelidikan berimpak serta kolaborasi akademik yang telah menyumbang terhadap pencapaian UMPSA.
“Ia juga mencerminkan usaha berterusan UMPSA dalam meningkatkan reputasi dan kecemerlangan dalam arena pendidikan tinggi global.
“Penarafan bukan agenda utama universiti tetapi kedudukan itu membuka ruang dan peluang yang lebih luas buat UMPSA terus mengorak langkah ke hadapan dalam meneroka dan memperbaharui semua aspek penyelidikan, pengantarabangsaan dan kelestarian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, pencapaian ini mengukuhkan kedudukan universiti sebagai Hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ini berteraskan kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak, kerjasama global dan penghasilan graduan berkualiti tinggi.
QS World University Rankings: Sustainability 2026 adalah penarafan peringkat global yang menilai prestasi Universiti di seluruh dunia berdasarkan Indikator Pendidikan Alam Sekitar (17%), Penyelidikan Alam Sekitar (13%), Kemampanan Alam Sekitar (15%), Kebolehpasaran dan Peluang (11%) dan Kesaksamaan (12%).
Turut dinilai indikator Kesihatan & Kesejahteraan (5%), Impak Pendidikan (7%), Pertukaran Pengetahuan (10%) dan Tadbir Urus yang Baik (10%).
UMPSA juga merupakan satu-satunya universiti di negara ini yang menerima Anugerah Bendera Hijau Eco-Campus pada Persidangan Antarabangsa Eco-Campus (ECIC) 2025 dalam mengiktiraf amalan hijau selari dengan kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). – MalaysiaGazette
















