KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) disarankan melupakan sebarang usaha memujuk atau merayu MIC merubah keputusan sekiranya benar-benar mahu meninggalkan gabungan politik itu.
Pemerhati politik, Shahbudin Husin berkata, MIC perlu dibiarkan untuk menentukan dan mencari haluan politiknya sendiri.
Apatah lagi, ujar beliau, keputusan keluar BN itu bukan dibuat oleh seorang dua pemimpin MIC, sebaliknya merupakan pendirian sebulat suara perwakilan akar umbi yang dibuat pada perhimpunan agung tahunan parti itu.
Sehubungan itu, menurutnya, ia boleh dianggap sebagai keputusan mutlak oleh keseluruhan ahli-ahli MIC.

“Meskipun keputusan itu kemudian ditangguhkan untuk diserahkan kepada kepimpinan MIC Pusat memuktamadkannya, adalah membuang masa sebarang cubaan BN mahu mengubahnya.
“MIC akan dilihat tidak menghormati suara akar umbi jika sesuatu keputusan boleh diubah sesuka hati,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan dilapor membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dilaporkan berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Susulan itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menghormati dan menerima dengan hati terbuka sebarang keputusan yang akan dibuat oleh MIC.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, pihaknya akan cuba mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC mengenai masa depan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Sementara itu, Shahbudin menambah, maklum balas beberapa pemimpin MIC yang antara lain menyebut bahawa detik perpisahan antara parti itu dengan BN pasti berlaku dengan sendirinya menjelaskan bahawa pendirian keluar BN itu sudah tidak boleh diubah lagi.
Sehubungan itu, ujarnya, pemimpin UMNO disarankan supaya tidak membuang masa untuk bertemu dengan pemimpin MIC dengan harapan mereka mengubah keputusan keluar daripada BN.
Sepatutnya, tambah beliau, pertemuan dengan pimpinan MIC, jika mahu dilakukan hendaklah dibuat sebelum perhimpunan agung tahunan diadakan.
Ini kerana, ujarya, setelah perwakilan sebulat suara memutuskan keluar BN, apa jua pertemuan untuk memujuk rayu sudah dikira tidak berguna lagi.
“Eloklah ikut apa Zahid Hamidi kata, kami terbuka menerima apa jua keputusan MIC.
“Daripada cuba memujuk MIC, lebih baik dimantapkan hubungan dengan DAP,” katanya. – MalaysiaGazette
















