USIM menerima pengiktirafan dalam Anugerah CREME Jurnal 2025, salah satu kategori di bawah Malaysia Scopus Research Star Award 2025.

NILAI  – Malaysian Journal of Syariah and Law (MJSL), sebuah jurnal akademik yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menerima pengiktirafan dalam Anugerah CREME Jurnal 2025, salah satu kategori di bawah Malaysia Scopus Research Star Award 2025.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri  Zambry Abd Kadir.

Pencapaian tersebut menonjolkan kedudukan MJSL dalam kalangan jurnal ilmiah tempatan, khususnya dalam bidang syariah dan undang-undang.

Pengiktirafan itu turut mencerminkan pematuhan MJSL terhadap standard pengurusan editorial dan akademik antarabangsa, termasuk aspek ketelusan proses semakan, integriti penerbitan dan kualiti manuskrip yang diterbitkan.

Jurnal ini sebelum ini menarik penyertaan penulis dari dalam dan luar negara, menjadikannya platform rujukan dalam bidang berkaitan.

Ketua Editor MJSL, Prof. Madya Dr. Ahmad Syukran Baharuddin berkata, penganugerahan tersebut menjadi dorongan kepada pasukan editorial untuk terus meningkatkan mutu penerbitan di bawah Penerbit USIM.

“Pengiktirafan daripada pihak kementerian memberi motivasi kepada kami untuk memastikan kualiti penerbitan yang konsisten dan setara dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Pengiktirafan melalui Anugerah CREME Jurnal 2025 ini dijangka membuka peluang kepada MJSL untuk mengukuhkan jaringan sitasi dan kolaborasi akademik di peringkat lebih luas.

MJSL terus berperanan sebagai salah satu wadah ilmiah yang menyumbang kepada perbincangan akademik dan penyelidikan dalam bidang syariah dan undang-undang, seiring aspirasi Penerbit USIM untuk memperkukuh kualiti penerbitan akademik negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast