KOTA KINABALU – Meskipun sudah masuk lima hari berkempen, suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual pada 29 November ini masih lagi suram.
Pemasangan bendera-bendera parti politik mahupun calon-calon yang bertanding masih belum lagi rancak menyebabkan suasana kempen masih lagi ‘lesu’ berbanding situasi pilihan raya sebelum ini.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung yang ditanya mengenai perkara ini berpendapat ada dua kemungkinan mengapa kempen PRN Sabah kali ini nampak suram.
Pandangan suram itu kerana ada yang beranggapan perang bendera adalah segala-galanya untuk pilihan raya, tetapi ada parti atau calon menggunakan pendekatan media sosial berbanding ceramah mega.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada parti atau calon berpendapat lebih baik menggunakan media sosial agar dapat terus mendekati pengundi mereka.
Lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu yang menyaksikan pertembungan lebih lima penjuru, pendekatan media sosial dilihat lebih berjaya.
“Cuma, ada dalam kalangan rakyat yang masih percaya kempen bendera dan rumah ke rumah atau ceramah yang lebih menampakkan seperti akan berlaku pilihan raya.
“Semua ini juga perlu diambil kira kerana pengundi di Sabah yang berusia lebih 50 tahun dan mereka ini adalah pengundi tertinggi yang membuang undi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kuok Tiung, bagaimanapun tidak menolak, perang bendera mungkin berlaku pada pecutan minggu terakhir.
“Di Kota Kinabalu ini berdekatan laut dan angin sangat kuat, jadi kalau pasang bendera awal mungkin akan cepat rosak.
“Saya yakin, minggu kedua semua parti akan menggunakan kesempatan untuk memacak bendera sebagai nilai tambah kepada usaha mereka menawan hati pengundi,” katanya lagi.
PRN Sabah yang dijadual pada 29 November ini menyaksikan perebutan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan sembilan parti menyaksikan jumlah keseluruhan calon seramai 596 termasuk 74 calon Bebas.
PRN ini mencatat sejarah tersendiri dengan jumlah pengundi seramai 1,779,839. – MalaysiaGazette
















