KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas berputih mata selepas menjadi mangsa penipuan “phone scam” dengan kerugian mencecah RM706,000 di Kuching, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Kuching, Alexon Naga Chabu berkata, kejadian berlaku pada 28 Ogos lalu ketika mangsa berada di rumahnya dan menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali.
“Individu tersebut menggunakan nombor 016-9934728 dan memperkenalkan diri sebagai wakil Pusat Respons Scam Kebangsaan (NRSC) bernama Sarjan Chong.
“Beliau mendakwa kad pengenalan mangsa mempunyai rekod kesalahan jenayah penipuan dan terlibat dalam penerimaan wang haram,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah beliau, mangsa yang berusia 71 tahun terkejut dengan tuduhan tersebut dan menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan pula kepada seorang individu lain dikenali sebagai Tuan Ling melalui nombor 019-7963249 dan berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
Jelas Alexon, suspek mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang ke dalam dua akaun bank yang berbeza dengan tujuan siasatan daripada pihak Bank Negara Malaysia (BNM).
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah menceritakan kejadian itu kepada rakannya sebelum diarahkan untuk membuat laporan polis,” ujarnya.
Menurut Ibu Pejabat Polis Daeah (IPD) Kuching, setakat satu Januari hingga 19 November tahun ini, pihaknya telah membuka sebanyak 93 kertas siasatan melibatkan modus operandi yang sama melibatkan kerugian melebihi RM6 juta
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan, dan denda jika disabitkan kesalahan. -MalaysiaGazette
















