KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Halim Hamzah sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi yang baharu berkuat kuasa 24 November depan.
Pelantikan itu dibuat setelah mengambil kira pengalaman luas serta rekod cemerlang Abdul Halim dalam perkhidmatan awam yang menjangkau hampir 30 tahun.
“Beliau telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama hampir 30 tahun, bermula sebagai Penolong Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Kewangan & Pembangunan) di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2023 sebelum memimpin Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai Ketua Pengarah,” kata Shahmsul Azri.
Abdul Halim menggantikan Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang memegang jawatan itu sejak Mei 2023.
Abdul Halim, 54, merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.
Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri sebelum terus menabur bakti dalam pelbagai jawatan strategik.
Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, pengalaman kepimpinan yang luas serta pendedahan Abdul Halim dalam pengurusan dasar dan pentadbiran diyakini mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan di Kementerian Komunikasi.
“Dengan pengalaman kepimpinan yang luas serta rekod perkhidmatan yang cemerlang, saya yakin beliau akan memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan terus menyumbang kepada kesejahteraan serta kemakmuran negara,” katanya lagi.
Shamsul Azri sebelum ini berkata seorang pegawai kanan sebuah kementerian direhatkan serta-merta berikutan satu tuduhan salah laku ke atasnya.
Tindakan itu jelas beliau bagi membolehkan siasatan terhadap dakwaan salah laku tersebut dimulakan .
Katanya, sekiranya pegawai terbabit didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. – MalaysiaGazette
















