KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor menolak memorandum bantahan yang dikeluarkan Dewan Pemuda Pas Selangor terhadap Ketua Pemuda DAP Malaysia, Woo Kah Leong, sambil menyifatkannya sebagai tindakan bermotif politik dan berunsur dwistandard.
DAPSY Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tetap berdiri bersama Kah Leong dan menolak sebarang cubaan menyekat kebebasan bersuara melalui memorandum yang dilihat ‘berunsur ancaman dan kemunafikan politik’.
Memorandum yang diserahkan Pemuda Pas Selangor itu antara lain menuduh Kah Leong mengamalkan politik biadab susulan satu kenyataan beliau baru-baru ini yang mengkritik pimpinan Pas.
Mereka menuntut Ketua Pemuda DAP memohon maaf serta menghadiri sesi penjelasan mengenai konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), satu doktrin politik yang sering dibawa Pas.
Menurut sayap itu, tuntutan Pemuda Pas tidak wajar kerana konsep ‘akhlak politik’ yang dibangkitkan tidak pernah diaplikasikan secara konsisten oleh parti berkenaan terhadap pemimpin mereka sendiri.
“Jika Pemuda Pas benar-benar menekankan akhlak politik, mengapa tiada memorandum dikeluarkan terhadap pemimpin dan ahli mereka yang sering mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, kebencian agama atau penghinaan di media sosial dan pentas ceramah?” kata kenyataan itu.
Difahamkan, ketika menyampaikan memorandum hari ini, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menyelar tindakan Kah Leong yang memuat naik gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam keadaan terlantar di katil yang didakwa telah diubah suai.
Dalam pada itu, DAPSY Selangor turut mempertikaikan kesesuaian Pemuda Pas untuk bercakap tentang BPMS apabila tindakan sayap itu sendiri didakwa bercanggah dengan prinsip yang mereka laungkan.
Pada masa sama, DAPSY menggesa semua pihak, termasuk Pemuda Pas menumpukan perhatian kepada isu rakyat dan dasar, bukan polemik politik yang dianggap tidak produktif.
“Rakyat semakin muak dengan pergaduhan yang tidak mendatangkan manfaat. Pemimpin muda sepatutnya fokus kepada penyelesaian masalah rakyat, bukan menggunakan memorandum untuk menutup mulut pihak yang mengkritik,” jelas kenyataan itu.
DAPSY Selangor menegaskan komitmen untuk terus menyumbang kepada politik yang lebih beretika, bermaruah dan bertamadun, termasuk mempertahankan hak untuk bersuara secara tegas dan kritikal. -MalaysiaGazette
















