KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad mempersoalkan perbezaan format antara Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikekalkan dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan.
Menurut beliau, UPSR dan PT3 sebelum ini dimansuhkan kerana format ujian itu dikatakan berbentuk peperiksaan yang menekan dan tidak baik untuk murid serta pelajar.
Sedangkan, ujar beliau, SPM juga menggunakan format peperiksaan yang sama, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa ia boleh dikekalkan.
“Pada pandangan saya rakyat terkeliru bukan sebab status SPM itu persijilan atau UPSR itu peperiksaan.
“Apa yang rakyat keliru ialah format SPM. Rakyat tidak keliru tentang status SPM.
“Jika peperiksaan adalah sesuatu yang tidak baik, maka sepatutnya mansuhkan juga format peperiksaan untuk SPM sebagaimana telah dimansuhkan UPSR yang menggunakan format peperiksaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini yang menegaskan kerajaan tidak pernah bercadang SPM sambil menyifatkannya sebagai kelayakan tamat persekolahan paling penting di negara ini.
Sementara itu, Anuar berkata, beliau menyambut baik pengesahan kerajaan yang mana SPM tidak akan dimansuhkan memandangkan peperiksaan tersebut sangat penting kepada para pelajar.
Bagaimanapun, ujarnya, dalam menyatakan sokongan itu, rakyat masih keliru mengapa format peperiksaan SPM dikekalkan dan mengapa tidak wujudkan persijilan SPM berasaskan pentaksiran berterusan seperti pentaksiran bilik darjah (PBD).
“Itu sahaja sebenarnya yang mengelirukan rakyat.
“Bukan mereka desak SPM dimansuhkan. Mereka cuma keliru mengapa format peperiksaan dikekalkan untuk persijilan SPM?
“Apakah kerana PBD tidak dipercayai ukurannya? Apakah PBD masih dilihat sebagai tidak telus?
“Masih tidak tinggi kesahan (validity) dan kebolehpercayaan (realiability) berbanding amalan peperiksaan? Maka, kena kekalkan format peperiksaan untuk SPM,” katanya. – MalaysiaGazette
SPM tidak akan dimansuhkan, jangan percaya spekulasi – Fadhlina
















