Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika meninjau persiapan Operasi MURNI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi monsoon timur laut di Perpustakaan Kem Kementah, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Seramai 4,428 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk 266 pegawai dan 4,162 anggota lain-lain pangkat bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatannya serta 506 aset mobiliti darat, 7,355 aset mobiliti perairan dan 19 aset mobiliti udara sudah bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah pun bermula sejak 13 November lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesiapsiagaan itu merupakan sebahagian tindakan proaktif ATM dalam melaksanakan Operasi Murni (Op MURNI) bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menangani risiko bencana ketika musim MTL.

Menurutnya, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai peneraju operasi bagi menerajui misi bantuan Op MURNI ATM kali ini, manakala Cawangan Operasi dan Latihan Tentera Darat (OPLAT TD) pula berperanan sebagai Point of Contact kepada NADMA.

“Selain itu, sebanyak 15 pelantikan komander tentera (AMC) terdiri daripada Panglima Divisyen dan Briged di Semenanjung, Sabah dan Sarawak turut dilantik bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui media di Kem KEMENTAH di sini, hari ini.

Suasana ketika persiapan Operasi MURNI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi monsoon timur laut di Perpustakaan Kem Kementah, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 NOVEMBER 2025.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat mengenai Op MURNI ATM di kem terbabit yang turut menekankan persiapan anggota serta aset ATM untuk diatur gerak ke kawasan terjejas sebagai operasi bantuan kemanusiaan dan kecemasan.

Pada sesi taklimat itu, Mohamed Khaled turut meninjau kesiagaan 17 aset Op Murni ATM yang ditempatkan di Padang Kawad Kem KEMENTAH termasuk trak tujuh tan TATRA, trak tujuh tan AMDAC, trak tiga tan, trak satu tan, water trailer, ambulans medan, bot lengkap peralatan keselamatan serta khemah modular, sebelum diatur gerak ke kawasan terjejas.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan berterusan akibat MTL bermula awal November hingga penghujung Mac 2026, melibatkan kawasan tumpuan seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Beliau menegaskan, ATM sentiasa memastikan kesiapsiagaan anggota, aset dan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berada pada tahap optimum serta mampu memberikan tindak balas pantas.

“Usaha ini mencerminkan komitmen ATM bukan sahaja sebagai benteng pertahanan negara tetapi juga sebagai organisasi yang mendukung keselamatan dan kesejahteraan rakyat pada setiap masa,” katanya.

Suasana ketika persiapan Operasi MURNIAngkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi monsoon timur laut di Perpustakaan Kem Kementah, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 NOVEMBER 2025.

Mohamed Khaled berkata, NADMA juga telah membekalkan jambatan modular (jambatan Bailey) kepada ATM yang boleh digerakkan mengikut situasi serta keperluan.

“ATM akan menumpukan usaha dan sumber di kawasan yang mencatat peningkatan dan berisiko tinggi berlakunya banjir, berdasarkan pemantauan masa nyata sebaik sahaja hujan bermula,” katanya.

Op MURNI dilaksanakan selaras dengan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) dan aspirasi Kertas Putih Pertahanan melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dalam melindungi rakyat ketika kecemasan dan bencana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast