Tinjauan yang dilakukan di Pos Maritim baharu di Kampung Pegasaon Mapan-Mapan. -Sumber Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR – Cadangan pembinaan Pos Maritim baharu di Kampung Pegasaon Mapan-Mapan dijangka memperkukuhkan  keselamatan perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Usaha itu dilakukan melalui tinjauan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) semalam bagi menilai kesesuaian lokasi sebelum pembangunan dimuktamadkan.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid Razali berkata, penilaian terperinci merangkumi aspek keselamatan, kesesuain lokasi dan keperluan operasi.

“Sekiranya lokasi ini memenuhi kriteria dan keperluan operasi, tindakan susulan akan diambil bagi meneruskan cadangan pembinaan Pos Maritim tersebut,” katanya dalam siaran media, hari ini.

Dalam sesi itu, Pegawai Seksyen Operasi Zon Maritim Kudat, Lefternan Madya Maritim Muhammad Afify Ahamad membentangkan taklimat mengenai kedudukan tapak, keperluan infrastruktur, logistik serta potensi yang boleh dijalankan di pos berkenaan.

Jelas Maritim Malaysia, cadangan penubuhan Pos Maritim ini betujuan untuk mengekang jenayah rentas sempadan, aktiviti penyuludupan serta memastikan kesiapsiagaan operasi di tahap optimum.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan ESSCOM dan agensi keselamatan lain demi memastikan perairan negara terpelihara dan dilindungi.

Lawatan itu turut disertai Komander ESSCOM (KEC), Datuk Victor B. Sanjos; Timbalan Komander ESSCOM (TKEC), Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin serta Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM (KSBOL), Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed.

Turut hadir ialah wakil Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (Pitas) serta Pejabat DaerahPitas yang memberi input teknikal berkaitan keluasan tanah, status rizab dan hal pentadbiran setempat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast