KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini membuat laporan polis berhubung kebimbangan terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025).
Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif menegaskan, laporan tersebut dibuat oleh wakil-wakil parti itu setelah timbul keraguan serius mengenai implikasi perjanjian berkenaan terhadap kedaulatan serta integriti pentadbiran negara.
Putra mendakwa bahawa, ART 2025 berpotensi mengikat Malaysia dengan kepentingan ekonomi dan geopolitik Amerika Syarikat secara berterusan serta boleh menjejaskan kebebasan dasar perdagangan negara.
“Parti itu turut mendakwa bahawa perjanjian tersebut dimeterai tanpa kelulusan Parlimen dan didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Putra memandang serius kemungkinan wujud unsur pengkhianatan dan penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan keselamatan serta masa depan negara,” kata Shahrulufti dalam kenyataan hari ini.
Parti itu turut menuntut agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh sebelum merujuk perkara tersebut kepada beberapa institusi berautoriti termasuk Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia.
Shahrulufti juga menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil untuk memberikan penjelasan rasmi mengenai perjanjian tersebut.
Laporan polis itu dibuat oleh tiga pengadu rasmi Putra, iaitu Shahrulutfi, Ketua Penerangan Negeri Selangor Putra Malaysia, Mohamed Shahrin bin Ismail dan Ketua Bahagian Kota Raja Putra Malaysia Norsharizal Nordin.
Menurut Shahrulufti, laporan berkenaan dibuat atas dasar tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara selain menegaskan bahawa Putra akan terus memperjuangkan prinsip kedaulatan, integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara. – MalaysiaGazette
















