Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal dakwaan pihaknya mengeluarkan mesej peringatan larangan terbabit rasuah yang kini berlegar di aplikasi WhatsApp sempena Pilihan Raya Negeri Sabah.

Menurut SPRM dalam kenyataan hari ini, hebahan mengenai kenyataan dan peringatan dibuat hanya melalui platform rasmi suruhanjaya serta media arus perdana yang diiktiraf.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati agar tidak terpedaya dengan mesej yang berkaitan. Ini bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa kepada orang-orang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, SPRM turut mengingatkan calon dan pengundi untuk menjauhi sebarang bentuk sogokan atau perbuatan rasuah.

Tambahnya, sekiranya terdapat maklumat atau keraguan, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada SPRM bagi tindakan segera.

“Sebarang aduan rasuah atau rujukan boleh dibuat secara terus kepada Bilik Gerakan SPRM yang telah dibuka sejak 10 November lalu.

“Bilik gerakan ini berada di lima lokasi di Sabah iaitu di Pejabat SPRM Cawangan Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau,” ujarnya.

SPRM menegaskan, komitmen mereka untuk memastikan proses pilihan raya berjalan secara telus daripada sebarang cubaan menyeleweng undang-undang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast