JPJ menahan seorang lelaki di Terminal 1 KLIA semalam. -Sumber JPJ Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dicekup apabila menawarkan perkhidmatan ‘kereta sapu’ dengan kadar bayaran RM120 kepada seorang penumpang warga Bangladesh di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, tangkapan ‘ulat’ itu dilakukan hasil daripada intipan dan pemantauan di Terminal Satu KLIA, Stesen Penguatkuasa KLIA.

“Pemandu yang memandu Honda City itu cuba memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan daripada KLIA ke KLCC dengan kadar tambang yang dibayar apabila tiba di lokasi.

“Berikutan daripada itu, pemandu dan keretanya ditahan serta disita bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di akaun rasmi Facebook JPJ Selangor semalam.

Tambah beliau, mana-mana individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

Hukuman yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Azrin menegaskan orang awam untuk menggunakan perkhidmatan awam yang sah melalui perkhidmatan di Terminal Satu dan Terminal Dua, atau membuat tempahan di aplikasi e-hailing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast