Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap kepada media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2024.

KOTA KINABALU – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Melaka menyatakan sokongan penuh terhadap manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan menyifatkan dokumen itu sebagai pelan tindakan strategik dan bukan sekadar janji kosong.

Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, seluruh jentera BN Melaka merakamkan sokongan teguh dan keyakinan penuh terhadap manifesto yang dinamakan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) itu.

“RPS1 membuktikan kepimpinan BN Sabah tampil dengan hala tuju yang jelas, tersusun dan realistik untuk membawa negeri itu ke tahap pembangunan yang lebih stabil, makmur dan inklusif.

“Ia bukan sekadar dokumen pilihan raya, tetapi pelan tindakan strategik yang mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Sabah dan tekad untuk memperkukuh kesejahteraan semua komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, manifesto BN Sabah berteraskan RPS1 itu mengangkat iltizam ‘Sabah Membangun Bersama’, selaras dengan prinsip BN, iaitu ‘Kestabilan Teras Kemakmuran’.

“Merangkumi lebih 30 inisiatif di bawah enam teras utama, menjadikan manifesto ini suatu rangka kerja pembangunan yang komprehensif, berpaksikan rakyat dan mempunyai hala tuju jelas untuk masa depan Sabah.

“Kita lihat fokus utama manifesto ini meliputi pembangunan ekonomi berimpak tinggi, peningkatan kebajikan rakyat, pendidikan berkualiti, kesejahteraan sosial dan tadbir urus berintegriti,” katanya.

Masnifesto BN dilancarkan oleh Pengerui BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut menekankan semua teras ini memperlihatkan komitmen BN untuk menawarkan penyelesaian sebenar bukan retorik dengan tindakan dan bukan janji kosong.

Ab Rauf turut mengingatkan rakyat Sabah mengenai pencapaian besar dan jasa yang telah dicetuskan oleh kepimpinan BN terdahulu.

“Rekod ini membuktikan BN bukan sekadar berjanji, BN telah lama bekerja dan membangunkan Sabah dengan hasil yang nyata.

“Melaka akan tetap berdiri teguh bersama Sabah dengan membawa semangat yang sama, masa depan yang stabil, maju dan inklusif ‘Demi Rakyat Demi Sabah’. Kita Bikin Balik Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast