Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-53 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 NOVEMBER 2025

BANGI – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) perlu terus dipimpin oleh mereka yang berintegriti tinggi dan beramanah.

Baginda yang juga Canselor UKM bertitah, kejayaan yang telah dikecapi akan musnah sekiranya para pentadbir universiti itu mengambil kesempatan atas kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi.

Baginda turut membangkitkan berkenaan aduan setahun lalu daripada beberapa pakar perubatan di peringkat pengurusan utama di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, mengenai salah laku serius dalam proses perolehan di hospital tersebut melibatkan tiga tender besar bernilai RM58.45 juta.

Tuanku Muhriz bertitah, aduan itu kemudiannya disiasat dan disahkan benar oleh Jabatan Audit Negara, yang mana beberapa syarikat yang tidak mendapat kelulusan jawatankuasa pemilih telah dilantik untuk melaksanakan projek-projek tersebut.

“Jika tidak diambil tindakan sewajarnya, salah laku ini akan memberi implikasi negatif bukan sahaja dari segi kewangan, malah ia akan turut merendahkan mutu perkhidmatan, keselesaan dan rawatan pesakit, serta menjejaskan proses latihan para pelajar perubatan di HCTM.

“Ia juga sekali gus menggugat kualiti HCTM dan melemahkan kredibiliti UKM,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada majlis Majlis Konvokesyen ke-53 UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM, di sini, hari ini.

Sementara itu, baginda bertitah, untuk memperbetulkan keadaan, adalah penting bagi UKM menjalani proses perubahan dalam tatakelola serta pentadbiran.

Titah baginda, tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjalan dengan agak perlahan, akan tetapi langkah yang penting telah diambil iaitu dengan melantik Naib Canselor UKM yang baharu.

“Namun, beta juga telah dimaklumkan baru-baru ini bahawa, selain di hospital, masih terdapat lagi salah laku lain yang telah wujud dalam UKM.

“Pada masa ini siasatan mengenainya sedang digiatkan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut bertitah menyeru semua pihak berwajib supaya lebih sensitif dan sentiasa mengambil tindakan yang cepat terhadap pihak yang terlibat dalam perbuatan salah laku tersebut.

Titah baginda, pelantikan pengurusan tertinggi universiti mestilah melibatkan calon yang layak dan bertanggungjawab.

Baginda bertitah, pemimpin yang terlibat dengan salah laku tidak layak mentadbir sesebuah universiti, lebih-lebih lagi UKM yang menjunjung falsafah Ilmu, Mutu dan Budi.

“Beta menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya sentiasa menyokong usaha pembaharuan di UKM, termasuk mempercepatkan pelantikan pengurusan tertinggi terutamanya ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Timbalan-timbalan Naib Canselor,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast