PUTATAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menafikan beliau calon tunggal untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah jika PN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata, kesemua 41 calon yang bertanding di bawah tiket PN adalah layak untuk diangkat dan dipertimbangkan sebagai Ketua Menteri.
“Itu (calon Ketua Menteri) belum diputuskan,” katanya ringkas pada majlis pelancaran manifesto PN di Dataran Pomoi, di sini.
Terdahulu beberapa nama sering disebut-sebut untuk jawatan Ketua Menteri Sabah selain Ronald adalah Timbalan Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Pada PRN Sabah ke-17, PN bertanding di 41 kerusi dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan negeri.
“Saya hanya mahu menang dahulu, kerjasama dengan parti mana itu belum lagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















