WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan perbincangan dengan bakal Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani di White House semalam sebagai baik dan sangat produktif.
Mamdani, seorang sosialis demokratik dan pendatang baru dalam dunia politik yang memenangi pemilihan jawatan Datuk Bandar New York pada awal bulan ini memohon pertemuan itu bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi bandar tersebut seperti kos kehidupan dan keselamatan awam.
Walaupun kedua-duanya berbeza ideologi, nada mereka mesra pada pertemuan itu.
“Kami bersetuju lebih banyak daripada yang saya jangkakan. Kami ada satu persamaan, kami mahu bandar yang kami cintai ini melakukan yang terbaik,” kata Trump kepada wartawan selepas perbincangan tertutup.
Duduk di hadapan mejanya, Trump tersenyum dan mengucapkan tahniah keda Mamdani di atas kejayaan kempennya dengan berkata: “Dia benar-benar memberi saingan yang hebat terhadap beberapa orang yang kental, (Mamdani) seorang yang sangat bijak,”.
Mamdani dengan nada positif menyifatkan pertemuan tersebut sebagai ‘perbincangan produktif yang memberi fokus kepada sebuah tempat yang kekaguman dan cintanya dikongsi, iaitu bandar New York, dan perlunya menyediakan (kos kehidupan) mampu milik kepada penduduk New York.
Beliau kemudian memberitahu wartawan: “Saya menghargai pertemuan ini, saya memandang ke hadapan untuk bekerja bersama-sama untuk menyediakan (kos kehidupan) mampu milik kepada penduduk New York.
Trump yang sebelum ini melabelkan Mamdani sebagai seorang komunis, malah mengancam untuk menarik bantuan kerajaan Persekutuan kini dilihat melakukan sebaliknya.
“Lebih baik prestasi dia, lebih gembira saya,” kata Trump.
Presiden itu yang ditanya sama ada terdapat pengurangan bantuan kepada bandara itu berkata: “Saya tidak rasa ia tidak akan berlaku,”.
Walaupun serangan dilakukan sebelum ini, Trump berkata, beliau tidak bersetuju dengan komen Ahli Kongres Republikan, Elise Stefanik yang merujuk Mamdani sebagai calon jihad semasa kempen beliau dalam saingan Datuk Bandar.
“Saya bertemu dengan seorang lelaki yang sangat rasional. Saya bertemu dengan seorang lelaki yang betul-betul mahu menjadikan New York terbaik sekali lagi,” kata Trump.
Presiden itu mengimbas kembali hubungannya dengan bandar itu, menyatakan beliau ingin menjadi Datuk Bandar.
Ketika Mamdani menentang pendirian Trump mengenai imigran dan pendekatan kerajaan Persekutuan, beliau mengulangi kesedian untuk berkerjasa demi manfaat bandar itu.
“Saya berhasrat untuk menjelaskan kepada Presiden Trump bahawa saya akan bekerja dengan beliau terhadap sebarang agenda yang memanfaatkan penduduk New York. Jika agenda itu menjejaskan penduduk New York, saya menjadi orang pertama yang berkata tidak,” katanya.
Trump dan Mamdani turut menyentuh mengenai Timur Tengah dengan Presiden itu mengulangi bahawa Hizbullah kekal menjadi ‘masalah’ di Lubnan dan AS mahukan Hamas meletak senjata sepenuhnya.
Mamdani menyatakan bahawa penyokong Trump yang beliau temui menyokong penamatan peperangan selama-lamanya dan mengakhiri wang pembayar cukai untuk membiayai pencabulan hak asasi manusia.
Mamdani menjelaskan pandiriannya terhadap Gaza yang didakwa wartawan bahawa beliau menuduh AS terlibat dengan genosid dengan berkata: “Saya telah bercakap mengenai kerajaan Israel melakukan genosid dan saya telah bercakap mengenai kerajaan kita membiayainya,”.
“Kami bosan melihat cukai kami membiayai peperangan yang berterusan, dan saya juga percaya kami perlu mengikuti hak asasi manusia antarabangsa dan saya tahu hari ini terdapat mereka yang mencabulinya dan ada perkara yang perlu dilakukan, tidak kira di mana kami bercakap,” tambah Mamdani.
Trump cuba mengelak secara terus dakwaan tersebut dengan menyatakan kedua-dua pemimpin itu menyokong keamanan di Timur Tengah.
Presiden itu mengesahkan mereka tidak membincangkan ikrar kempen Mamdani untuk menahan Perdana Menteri Israel, Banjamin Netanyahu jika beliau menjejak kaki di New York. – Agensi
















